Wednesday, May 7, 2008

Konsert Gegar Olimpik di RTM1

MENGAMBIL inisiatif menambahkan kemeriahan Sukan Olimpik 2008, RTM mengambil peluang menganjurkan Konsert Gegar Olimpik '08 yang akan berlangsung pada 11 Mei ini, pukul 3.00 petang di RTM1.
Bertempat di Pangkalan Lumut, Perak, RTM menjanjikan kepuasan berterusan kepada audiensnya seiring dengan sambutan gilang-gemilang Hari Terbuka Armada 2008 dan ulang tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menariknya, Konsert Gegar Olimpik 2008 bakal menyaksikan kolaborasi artis-artis tanah air dengan seleksi pilihan lagu popular masing-masing dalam menghiburkan penonton sepanjang dua jam siarannya.
Artis-artis yang terlibat dalam konsert berkenaan ialah Mas Idayu, Adam AF, Siti Sarah Raisuddin, Izwan Pilus, Sheila Abdul, Vic Teoh, Jerry John, Kumpulan 6ixth Sense dan Butterfingers.


Pastinya kerinduan peminat Mas Idayu yang agak lama aksinya tidak dilihat di pentas terubat menyaksikan kemunculannya menyanyikan lagu-lagu popularnya yang pernah menjadi siulan suatu ketika dulu.
Begitu juga dengan Adam AF yang baru-baru ini menggondol kemenangan menerusi pertandingan akhir anjuran RTM, Hits 1.

Adam bakal menghiburkan peminat setia dengan aksi dan tariannya yang bersahaja selain persembahan vokal mantap dijanjikan Siti Sarah Raisuddin, Izwan Pilus dan Sheila Abdul dalam persembahan mereka.
Namun tidak dikecualikan juga dua nama artis berlainan bangsa, Vic Teoh dan Jerry John yang dianggap bonus menyampaikan lagu-lagu dalam bahasa ibunda masing-masing.

Sudah tentu juga kemunculan dua buah kumpulan muzik, 6ixth Sense dan Butterfingers mampu memenuhi kepuasan penonton yang sentiasa dahagakan persembahan dengan iringan muzik disampaikan secara langsung.
Kepada anda yang ternanti-nantikan konsert yang mampu menjanjikan kepuasan berterusan, jangan lepaskan peluang menonton Konsert Gegar Olimpik '08 pada 11 Mei ini pada pukul 3.00 petang di RTM1.


-Sumber Utusan Online ( http://www.utusan.com.my )

Khai & Rosma Diijabkabulkan


Tiada kata yang lebih indah buat seorang gadis saat diri dilamar sang teruna yang yang dicintainya. Tiada lafaz yang lebih abadi dari cinta selain lafaz pengikat kasih sebagai suami isteri yang sah dan disukai Allah. Dengan sekali lafaz, kini Rosma telah menjadi milik Khai. Mereka merupakan pasangan pertama program realiti televisyen, AF1 yang mengakhiri cinta mereka ke jinjang pelamin.

Bermulanya sebuah kisah cinta di pentas AF sejak tahun 2003 lalu yang penuh kemanisan. Tiada siapa yang menjangkakan termasuk tuan empunya diri dari usikan nakal peserta dan peminat AF menjadi realiti malah merupakan faktor utama menyuburkan benih cinta di hati masing-masing. Tatkala, Rosma melangkah keluar ketika namanya diumum tersingkir, berderai air mata Khai mengiringi kepulangan Rosma. Jua, tak siapa menjangkakan air mata Khai itu penuh keikhlasan, penuh rasa kasih dan cinta buat Rosma.

Dan tanggal 26 April 2008, Masjid Putrajaya menyaksikan sekali lagi air mata kesyukuran Mohd Khairul Nizam Mohammad Wahi atau Khai dengan Rosmayati Sidek atau Rosma saat diijabkabulkan pada jam 11.55 pagi selepas dua jam ditunangkan pada majlis yang sama.

Hantaran Khai sebanyak RM16,161.61 untuk Rosma yang juga menerima mas kahwin berjumlah RM100. Sebanyak 9 dulang dari pihak Khai berupa sireh junjung, tas tangan dan kasut berjenama Guess, sejadah, telekung serta senaskah al-Quran. Rosma pula membalas 11 dulang hantaran seperti, kek, minyak wangi, sireh junjung, kasut dan tali pinggang berjenama Armani Exchange, puding, coklat dan juga senaskah al-Quran.
-Sumber Mangga Online ( http://www.manggaonline.com.my/ )